Bagaimanakah cara berpantun dengan betul ? Adakah pantun boleh didendangkan ? Jika boleh, bagaimanakah cara mendendangkannya dan apakah pula iramanya ? Pengkaji pantun berpendapat pantun tidak mempunyai irama lagu yang khusus, sebaliknya pantun dibaca secara bebas, tetapi mengikut intonasi yang tertentu. Sebagai puisi asli melayu, pantun wujud sejak berzaman-zaman, iaitu sejak zaman masyarakat melayu belum tahu menulis dan membaca. Pantun merupakan sejenis puisi tradisional masyarakat melayu yang dicipta sebagai suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang atau mengenai sesuatu perkara, di samping bertujuan untuk menyindir, berjenaka, memberikan nasihat, sebagai selingan atau penyedap cakap dalam ucapan atau untuk bersuka-suka sahaja.
Contoh pantun Dondang Sayang adalah seperti berikut :
Ramai-ramai duduk di jambatan,
Campak batu seorang satu;
Ramai-ramai duduk berkawan,
Mari berpantun seorang satu.
Biasanya pantun ini akan dijawab dengan pantun,
Saya tidak pandai menari,
Sebarang tari saya tarikan;
Saya tidak pandai menyanyi,
Sebarang nyanyi saya nyanyikan.
Perkataan "nyanyi" pada baris tiga dan baris empat dalam pantun diatas sebenarnya bermaksud "pantun". Walaubagaimanapun, pantun yang mempunyai empat baris serangkap apabila dinyanyikan dengan lagu Dondang Sayang akan menjadi lapan baris serangkap. Contohnya pantun Dondang Sayang dalam lagu Serampang Laut:
Ini lagu serampang laut,
serampang laut, tuan,
laut menuju pulau sempadan,
alah sayang pulau sempadan:
layar kembang kemudi kupaut,
kemudi kupaut, sayang,
kalau tak laju celaka badan,
alah sayang celaka badan.
Credits; Aliah Abdul Rahim, Pelita Bahasa Oktober 2005.